KUCHING, 10 November 2012 – Fasa remaja-belia penting dalam perjalanan kita sebagai seorang manusia dari alam arwah sehinggalah alam akhirat, pesan Mohamed Rasheedan Ellin, Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Sarawak kepada remaja-remaja sekolah.

“Pada fasa inilah kita mencorakkan identiti diri, kita pantas menyerap ilmu. Fasa ini kita aktif dan energetik, nak buat amal pun senang.”

Begitu ujarnya ketika memberi ceramah motivasi Kelab Remaja ISMA (KRIM) bertajuk “Hargai Usia Remajamu” kepada hampir 30 orang pelajar dari tingkatan 1 sehingga 5. Program tersebut bertujuan menyedarkan pelajar tentang betapa pentingnya usia muda mereka.

Tambahnya lagi, kehidupan di dunia terlalu singkat jika hendak dibandingkan dengan alam barzakh atau akhirat, tetapi ia sangat penting sebab dalam alam ini akan menentukan arah tuju kehidupan kita yang seterusnya, sama ada kita beramal dengan amalan ahli syurga ataupun kita beramal dengan amalan ahli neraka.

Ceramah yang dianjurkan oleh Kelab Remaja ISMA dengan kerjasama Yayasan Kemajuan Insan Sarawak tersebut telah diadakan di surau Kompleks Asrama Yayasan Kemajuan Insan Sarawak.

Share